RATU terjun negara, Pandelela Rinong mempamerkan aksi hebat untuk meraih pingat emas dalam acara 10m platform individu wanita pada Kejohanan FINA Grand Prix (GP) Australia di Puast Akuatik Gold Coast, Australia, hari ini.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berjaya merekodkan markah tertinggi 319.40 mata selepas lima terjunan manakala perak menjadi milik penerjun Kanada, Celine Toth (310.20 mata) dan gangsa diraih penerjun tuan rumah, Anna Rose Keating dengan 285.65 mata.
Seorang lagi wakil negara, Kimberly Bong sekadar menduduki tangga tercorot dalam kalangan enam penerjun peringkat akhir dengan mengumpul 237.45 mata.
Pandelela menuai pingat kedua peribadinya hari ini selepas merangkul perak bersama gandingannya, Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama dengan mengumpul 287.10 mata.
Dua pasangan Australia – Melissa Wu/Taneka Kovchenko dan Brittany O’Brien/Anna Rose Keating masing-masing merangkul emas dan pingat gangsa dengan kiraan 300.24 mata dan 281.34 mata.
Skuad negara turut menambah sebutir pingat perak menerusi gandingan Jellson Jabillin dan Cheong Jun Hoong selepas mengumpul 262.71 mata dalam acara 10m platform seirama campuran.
Gandingan Australia, Lucas Thomson/Gemma McArthur meraih emas dengan 269.46 mata dal;am acara yang hanya disertai oleh dua pasingan tersebut. – BERNAMA