KUALA LUMPUR – Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mencabar Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berbahas secara terbuka tentang sejarah penubuhan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Cabaran itu susulan kenyataan Ahli Parlimen Semporna itu bahawa mereka yang mengatakan status Sabah dan Sarawak sama seperti negeri di Semenanjung adalah “bodoh”.
“Hampir tersembur keluar kopi dari mulut saya apabila terbaca kenyataan Shafie mengenai perkara tersebut.
“Dalam hal ini, saya tidak perlu mengulangi balik pendirian saya berhubung dengan sejarah penubuhan Malaysia dan MA63,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Speaker Dewan Rakyat itu, beliau telah pun mencabar pemimpin pembangkang di Sabah itu untuk berbahas secara terbuka tentang isu ini supaya rakyat negeri itu dapat menilai siapa yang memutarbelitkan fakta sejarah semata-mata untuk menimbulkan kemarahan rakyat negeri di bawah bayu itu.
“Kali ini saya mencabar Presiden Parti Warisan itu berbahas dengan saya secara terbuka tentang tafsiran sejarah penubuhan Malaysia dan MA63, supaya rakyat Sabah dapat menilai siapa sebenarnya yang bodoh,” ujar Pandikar.
Dengan menyebut Bab 2 Kalusa 10 Laporan IGC yang dilampirkan dalam Artikel 8 Perjanjian Malaysia 1963 yang menyatakan bahawa bekas tanah jajahan British Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak sama dengan negeri-negeri Melayu Semenanjung, Pandikar sebelum ini membuat kenyataan bahawa Sabah sama taraf dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Bagaimanapun, Shafie dalam ceramah di Keningau kelmarin mendakwa individu yang mengatakan Sabah adalah sama dengan mana-mana negara lain adalah” bodoh”.
Dakwa Shafie lagi, Pandikar sebagai seorang rakyat Sabah tidak boleh mengatakan bahawa Sabah adalah sama seperti negeri-negeri lain seperti Perlis, misalnya.
“Sebelum buat kenyataan sedemikian Datuk Shafie perlu memahami sistem Federalisme.
“Adakah kenyataan Shafie ini satu penghinaan kepada seluruh rakyat Perlis?” tanya Pandikar, secara sinis. – MYNEWSHUB.CC