SUKA kencing, mabuk dan buat bising. Itu antara tabiat buruk sebahagian pendatang warga China yang ganggu ketenteraman penduduk tempatan di beberapa kawasan di ibu kota sejak kebelakangan ini.
Malah, mereka yang dipercayai bekerja di beberapa tapak projek pembinaan di bandar raya ini turut membawa budaya masing-masing dengan main judi, berpeleseran di kaki lima hingga ganggu orang ramai dan merosakkan harta benda awam.
Tindakan itu sekali gus mengundang rasa takut kepada penduduk tempatan untuk menegur perbuatan warga China berkenaan dan hanya mampu melihat kerana dibimbangi akan dipukul mereka yang sering bergerak secara berkumpulan.
Tinjauan wartawan Harian Metro di Jalan Abraham, Jalan Khoo Teik Ee, Jalan Imbi dan sekitar Dang Wangi mendapati kawasan berkenaan dipenuhi warga asing yang bekerja di beberapa tapak pembinaan.
Jika dilihat pada waktu siang, kawasan itu kelihatan tenang dan tiada sebarang masalah, namun sebelah malam, lokasi itu meriah dengan pelbagai ‘aktiviti’ dilakukan warga asing terbabit hingga ganggu ketenteraman awam.
Pemilik kedai runcit di Jalan Khoo Teik Ee yang dikenali sebagai Ibrahim berkata, kawasan berkenaan sememangnya meriah dengan kehadiran warga asing sejak tiga tahun lalu.
“Ia muncul apabila terdapat projek pembinaan berhampiran jalan terbabit. Kebanyakan warga asing dari China, Vietnam dan Bangladesh menyewa di flat serta rumah kedai berhampiran kawasan ini.
“Mereka suka bergerak secara berkumpulan dan kebiasaannya akan mabuk pada waktu malam,” katanya. – myMetro Online