MIRI – Pemandu teksi antara 45 individu yang ditahan dalam operasi membanteras perjudian haram di seluruh negeri mulai 13 hingga 19 Nov lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak (JSJ) Datuk Dev Kumar berkata enam pemandu teksi ditahan ketika serbuan dijalankan di sebuah perhentian teksi di Jalan Khoo Peng Loong kerana berjudi di tempat awam dan satu pek kad serta wang tunai berjumlah RM185 turut dirampas.
“Seorang daripada 45 individu yang ditahan merupakan warga asing, 33 daripadanya adalah lelaki dan selebihnya wanita berusia lingkungan 16 hingga 69 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata polis turut menyerbu dua sarang laga ayam di Saratok, Betong dan Tatau, di Bintulu, pada waktu sama.
“Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962,” katanya. – BERNAMA