KAMPAR – Polis Kampar menahan seorang penagih dadah berumur 42 tahun kerana melakukan perbuatan khianat di Balai Polis Gopeng dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata dalam kejadian kira-kira 10.50 pagi itu lelaki berkenaan datang ke balai tersebut sebelum menendang pintu cermin premis sehingga pecah dan cuba menyerang anggota polis di kaunter aduan.
“Lelaki tersebut masuk ke dalam balai sambil melaungkan beberapa kali kalimah ‘Allahuakbar’ dan mengambil kerusi plastik sebelum mahu menyerang seorang anggota polis yang sedang bertugas ketika itu.
“Anggota polis itu kemudian cuba menangkap suspek sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek kemudian melarikan diri ke arah pintu belakang balai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ng berkata suspek berjaya ditahan oleh beberapa anggota polis dan kini dirawat di Hospital Kampar kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, tangan dan kaki akibat pergelutan semasa ditahan.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek yang juga seorang penganggur positif dadah jenis syabu.
“Kejadian itu menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan di bahagian tangan manakala balai polis polis kerugian hampir RM500,” katanya.
Ng berkata kes disiasat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967. – BERNAMA