SEJAK single Bismillah mula popular dimainkan banyak stesen radio beberapa bulan lalu tanpa kenal gerangan penyanyi lagu itu, ia menjadi tanda tanya dalam kalangan netizen tempatan sendiri.
Ramai dikatakan teruja ingin mengetahui empunya suara sebenar yang disifatkan lunak dan merdu, malahan lebih dahsyat ada juga menyangka lagu genre ketuhanan tersebut dibawakan oleh penyanyi wanita!
Ekoran populariti yang dikecapi lagu berkenaan membuatkan beberapa stesen radio dan televisyen tempatan mula mengundang penyanyinya, Ikhwan Fatanna bagi menjayakan siaran program masing-masing.
Setelah tahu gerangan pemilik suara di sebalik lagu itu, rata-rata peminat industri muzik tanah air terkejut kerana pada awalnya menyangka lagu berdurasi empat minit tersebut dinyanyikan oleh penyanyi wanita
Ironi video muzik lagi karya ciptaan Mohaid Rosli, Ayden Ali, Zel dan Ikhwan itu sendiri sudah disiarkan sejak 24 Mac lalu dengan setakat ini telah menerima lebih 2,000 tanda suka dan ditonton lebih 170,000 kali.
“Saya sudah jangka situasi ini kerana pernah berhadapan dengan tanggapan awal pendengar menerusi beberapa buah lagu dinyanyikan sebelum ini. Mungkin orang kenal lagu tapi tahu siapa yang menyanyikannya.
“Ada juga sangka ini lagu dari Indonesia. Cuma waktu itu single tersebut tidak begitu rancak di radio. Jadi tidak timbul sebarang isu. Kali ini apabila Bismillah dapat sambutan baik pendengar, barulah mula diperkatakan.
“Bagaimanapun, saya tidak berkecil hati dengan tanggapan tersebut. Disebabkan kekeliruan pendengar, mereka mula mengenali saya. Alhamdulillah, ada hikmahnya,” ujar pemuda kelahiran Ampang, Kuala Lumpur itu.
Menurut Ikhwan yang berusia 27 tahun itu, memiliki suara agak nipis dan halus mungkin menyebabkan kekeliruan tersebut berlaku tetapi dia tetap menerima anugerah kurniaan Allah tersebut dengan hati terbuka.
“Saya pun terkejut dengan maklum balas pendengar yang menyangka lagu itu dinyanyikan oleh wanita kerana selama ini saya tidak pernah terfikir suara saya seperti wanita sehingga lagu ini menjadi perhatian.
“Namun saya tidak terasa hati pun dengan komen mereka kerana setiap suara ada keunikan tersendiri. Sekurang-kurangnya mereka mendengar dan suka lagu itu,” ujarnya lagi kepada portal tempatan mStar.
Bersyukur lagu nyanyiannya mendapat maklum balas yang positif, Ikhwan berharap karier seni yang diceburi sejak beberapa tahun lalu terus berkembang maju pada masa akan datang.
Menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan komposer tersohor tanah air, Datuk M. Nasir, penyanyi yang gemar menyanyikan lagu berunsur nasihat itu berdoa agar impian tersebut dapat dicapai.
Aktif sebagai komposer, dia juga pernah menggubah beberapa lagu untuk ramai penyanyi lain selain daripada dirinya dan dalam perancangan untuk menghasilkan single yang seterusnya pula.
Sebarang tempahan untuk undangan nyanyian, boleh hubungi Ikhwan terus menerusi akaun laman Intagram miliknya, @ikhwanfatanna. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA