IPOH – Sebuah Pusat Islam bagi Keamanan Global dan Tanpa Keganasan dicadang diwujudkan di Kuala Kangsar sebagai platform untuk mewujudkan keamanan sejagat, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata cadangan penubuhan pusat tersebut merupakan antara usul yang akan diutarakan pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia (WCIT 2017) yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini di sini.
Katanya jika cadangan itu diterima, pusat yang boleh dianggap seumpamanya di dunia itu akan diwujudkan di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar secepat mungkin.
“Pusat ini akan memainkan peranan untuk mewujudkan jaringan dari seluruh dunia untuk mewujudkan keamanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian WCIT 2017 oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di sini, hari ini.
Berhubung WCIT 2017, Zambry berkata sambutan diterima pada penganjuran kali keempat itu sangat memberangsangkan dengan penyertaan perserta daripada lebih 15 negara.
“Walaupun tema (Keamanan Global) yang dipilih agak mudah, tapi ia sebenarnya agak berat terutama bagaimana mahu mewujudkan keamanan global,” katanya dan menurutnya persidangan itu memberi peluang kepada pemikir Islam dan bukan Islam memberikan pendapat berkaitan isu berkenaan. – BERNAMA