SEGALA teka-teki mengenai hubungan mereka mungkin bakal terjawab selepas kedua-dua pasangan hot ini pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci.
Ia susulan kecoh netizen sejak semalam apabila ada dakwaan mengatakan Fazura dan Fattah Amin sudah bernikah dalam satu majlis tertutup di kediaman nenek Fazura dekat Petaling Jaya, Selangor.
Baca: Fattah – Fazura Bertunang, Bakal Nikah Di Makkah?
Mereka berjanji bakal mengadakan sidang media selepas pulang mengerjakan Umrah pada 23 November ini. Menurut portal Harian Metro, difahamkan tiada apa-apa majlis istimewa yang akan berlaku di Tanah Suci nanti.
Sebaliknya mereka hanya menunaikan ibadah umrah dan bukannya akan mengadakan majlis akad nikah seperti yang digembar-gemburkan sejak pagi tadi.
Satu kenyataan media telah dikeluarkan yang mengatakan mereka bakal mengadakan sidang media tersebut namun tidak dinyatakan pula apakah tujuan utama berbuat demikian.
Namun kami mempercayai bahawa ia ada kena mengena dengan spekulasi mengenai hubungan mereka baru-baru ini.
“Dengan rendah hati, Fattah dan Fazura ingin memohon seribu kemaafan dan memohon doa dari semua rakan wartawan dan peminat semoga umrah mereka dipermudahkan dan berjalan lancar.
“Insya-Allah, berikutan dari perkara ini pihak Fattah Amin dan Nur Fazura akan mengadakan satu sidang media pada 23 November.
“Lokasi dan masa sidang media ini akan kami kongsikan dalam waktu terdekat ini,” kata kenyataan itu.
Mereka juga memohon kemaafan dan doa daripada semua rakan wartawan serta peminat mereka dan berharap agar urusan mereka dipermudahkan.
Difahamkan mereka telah bertolak ke Tanah Suci bersama dengan ahli keluarga masing-masing dan turut disertai dengan teman rapat Fazura iaitu pereka fesyen terkenal, Rizman, menerusi pesawat Saudi Arabian Airlines SV841 kira-kira pukul 12:10 tengahari tadi.
“Fattah Amin dan Nur Fazura telah pun berangkat ke Makkah bagi menunaikan umrah. Perjalanan mereka turut disertai oleh ahli keluarga bagi kedua belah pihak dan wakil pengurusan.
“Terima kasih atas doa-doa kalian dan Insya-Allah semoga diberkati dengan umrah yang mabrur,” tambah kenyataan tersebut.
Selain itu, menurut pengurus Fattah, Sakirin Shak atau Acha, dia telah mengesahkan bahawa majlis yang berlangsung malam tadi merupakan kenduri dan doa selamat bersempena keberangkatan mereka ke Tanah Suci.
“Bagaimanapun, mungkin ada perbincangan peribadi atau pasal umrah. Saya sendiri tak tahu, tunggu selanjutnya kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan Fattah dan Fazura nanti,” katanya.
Jika benar mereka sudah mendirikan rumah tangga, mungkin mereka ada alasan yang tersendiri mengapa mereka mengambil keputusan untuk merahsiakan terlebih dahulu sebelum memberitahu kepada umum.
Jadi diharapkan para netizen dapat bersabar dan jangan lagi mereka cerita yang tidak elok selagi mereka belum lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan. – MYENWSHUB.CC/AH