IPOH – Perak International Bike Week (PIBK) bakal dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Perak mulai tahun depan dan akan menjadi acara tahunan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata penganjuran PIBK dilihat mampu mempromosikan Perak sebagai destinasi pelancongan di negara ini seterusnya meningkatkan ketibaan pelancong dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata selain itu penganjuran PIBK juga dapat membantu merangsang pertumbuhan ekonomi terutama sektor perhotelan dan perkhidmatan di negeri ini.
“Di samping itu, ia menggalakkan masyarakat terutamanya golongan belia untuk lebih dekat dengan aktiviti pemotoran yang sihat dan selamat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PIBK 2017 di Bulatan Amanjaya, Meru di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Program PIBW 2017 Azmi Hashim berkata program julung kali diadakan itu yang dianjurkan bersempena Hari Keputeraan ke-61 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang disambut hari ini bagi menunjukkan kesetiaan dan tanda menjunjung kasih kepada baginda.
Azmi berkata program PIBK yang merupakan cetusan idea Kelab Bikers Perak turut mendapat kerjasama dengan 10 kelab motosikal di negeri ini serta Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Perak merupakan platform kepada golongan belia menonjolkan dan mencungkil bakat mereka dalam bidang permotoran.
“Kami menyasarkan seramai 25,000 pengunjung selain penunggang dari Thailand, Brunei, Singapura dan Indonesia hadir memeriahkan program ini,” katanya.
PIBK 2017 yang bertemakan ‘Revolusi Dunia Permotoran’ yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini turut menampilkan gimik dengan menyusun topi keledar dengan perkataan ‘Daulat Tuanku’ bersempena Hari Keputeraan Sultan Perak.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya Slot Belia Masjid Negeri Perak, pertandingan motosikal bagi kategori āBest Bike/Best Custom Bike/Best Kapcaiā serta berkonvoi ke Kellyās Castle di Batu Gajah.
Sebanyak 15 gerai pameran disediakan antaranya Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Jabatan Pengangkutan Jalan serta 125 gerai menjual pelbagai produk berkaitan bidang permotoran. – BERNAMA