KUCHING – Pindaan Kanun Tanah berkaitan dengan Pemakai Menoa dan Pulau Galau dijangka siap dan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Mei 2018, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embass.
Justeru, beliau merayu semua pihak bersabar, “Biar pasukan petugas mengkaji isu ini secara holistik dan kemudian mengemukakan cadangan untuk meminda Kanun Tanah agar isu-isu yang berkaitan dengan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dapat diselesaikan,” katanya.
Uggah yang juga merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata kerajaan sentiasa konsisten dalam pendiriannya untuk menghormati dan mengiktiraf hak-hak rakyat seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang, dan menambah ia juga terpakai bagi hak NCR rakyat seperti yang termaktub dalam Kanun Tanah Sarawak.
“Kerajaan negeri amat menyedari implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas penduduk pribumi Sarawak,” kata Unggah ketika menggulung perbahasan Bajet Negeri 2018 bagi kementeriannya, pada persidangan DUN, hari ini.
Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Pemakai Menoa (tanah yang dimiliki) dan Pulau Galau (rizab hutan komunal) tidak termaktub di bawah kuasa undang-undang di negeri Sarawak.
Uggah berkata kerajaan negeri membentuk pasukan petugas yang dipengerusikannya, dianggotai menteri negeri dan persekutuan, ahli politik, penjawat awam kanan dan pengamal undang-undang.
Bidang tugas pasukan petugas itu adalah untuk mempertimbangkan dan mencadangkan penyelesaian yang baik dan praktikal untuk menangani isu hak tanah adat berkaitan Pemakai Menoa dan Pulau Galau.
Uggah berkata pasukan petugas itu mengadakan pertemuan pada 14 Mac lepas dan sehingga 8 Nov telah mengadakan perbincangan 12 kali.
Katanya pasukan petugas itu disokong oleh jawatankuasa kerja, dianggotai Datu Jaul Samion, Datuk Ganie Ugay, Datuk Thomas Akin Jelimin, Francis Johen Adam, Kilat Beriak, Ding Seling, Paul Raja dan Salang Manjan (selaku setiausaha).
Beliau berkata sekretariat jawatankuasa ialah Majlis Adat Istiadat Sarawak yang tugas utama jawatankuasa ini antara lain mempertimbangkan implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan, mengkaji undang-undang yang perlu dipinda dan mencadangkan pindaan yang sesuai.
“Jawatankuasa kerja ini mengadakan pertemuan lapan kali dan bertemu pengamal undang-undang Dayak dua kali, sekali di Kuching bersama anggota pasukan petugas pada 14 Mac tahun ini dan kali kedua di Bintulu pada 18 April,” katanya.
Uggah berkata peguam Dayak daripada gabungan politik yang berbeza dijemput menyertai perbincangan itu.
Anggota Dewan Undangan Negeri Ba’kelalan Baru Bian daripada PKR juga dijemput menyertai mesyuarat di Bintulu, katanya.
“Saya minta mereka sertai perbincangan ini kerana berpendapat isu mengenai Pemakai Menoa dan Pulau Galau perlu diselesaikan secara bersama tanpa mengira kecenderungan politik mereka,” katanya.
Uggah berkata isu NCR tidak harus dipolitikkan, mestilah disertai dengan azam yang bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian holistik.
“Kami tidak berdiam diri atau tidak aktif seperti dakwaan ramai pihak. Perbincangan ini tidak didedahkan kerana kami tidak berhasrat meraih kepentingan politik melalui isu-isu yang dekat dengan hati rakyat, ataupun menaikkan sentimen rakyat,” katanya.
Jawatankuasa kerja itu juga mengkaji memorandum yang dikemukakan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) dan kumpulan intelektual Dayak dan pandangan para pemimpin dan ketua masyarakat Dayak di seluruh negeri itu, katanya dan menambah Majlis Adat Istiadat Sarawak mengadakan 14 mesyuarat dengan pemimpin komuniti itu di pelbagai lokasi. – BERNAMA