KUALA LUMPUR – Perpustakaan Kuala Lumpur (PKL) menghantar 114 atlet ke Sukan Perpustakaan Awam Se-Malaysia (SPASM) ke-22 pada 10 hingga 14 Nov ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata kontinjen tersebut akan terlibat dalam 13 acara yang dipertandingkan dalam SPASM antaranya futsal, bola jaring, bola sepak, boling, ping pong dan badminton.
“Buat julung kalinya, PKL menjadi tuan rumah untuk SPASM pada tahun ini dan diharapkan dengan kejayaan kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA baru-baru ini akan membakar semangat mereka dalam kesemua acara yang dipertandingkan.
“Tagline SPASM ‘Semangat Membara’ memberi gambaran semangat sukan yang berkobar-kobar dalam penganjuran sukan ini,” katanya ketika Majlis Taklimat dan Penyerahan Bendera Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Katanya 14 kontinjen terdiri daripada 684 atlet dari 14 perpustakaan negeri turut terlibat dalam SPASM.
“Antara lokasi yang terlibat dalam acara sukan SPASM sekitar ibu kota iaitu Stadium Titiwangsa, Kompleks Sukan Bandar Tun Razak, Endah Parade dan Universiti Malaya,” katanya.
Katanya SPASM merupakan kejohanan sukan dwitahunan diadakan sejak 1984 antara semua Perpustakaan Awam Negeri dan setiap daripada perpustakaan tersebut berpeluang menjadi tuan rumah. – BERNAMA