MELAKA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melepaskan peserta program kayuhan basikal Gen-Y Resilient Melaka Ride 2017 di Bandar Hilir di sini.
Hujan tidak menghalang perdana menteri untuk beramah mesra dengan orang ramai yang hadir dan peserta program kayuhan sejauh lebih lima kilometer dari Bandar Hilir ke Dataran 1Malaysia, Klebang di sini. Program itu disertai kira-kira 2,000 pengayuh basikal.
Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Dalam majlis sama, Najib turut menandatangani plak ucapan tahniah atas pemilihan Melaka sebagai satu daripada 100 Resilient Cities yang merupakan pengiktirafan Melaka sebagai bandar mampan dalam menangani cabaran yang semakin meningkat terutama perubahan iklim.
Kemudiannya Najib bersama-sama Rosmah dan Idris menaiki bas elektrik untuk menyertai program Gen-Y Green The City Melaka 2017 di Dataran 1Malaysia yang dijangka menghimpunkan kira-kira 100,000 rakyat Melaka. – BERNAMA