KUALA LUMPUR – Ranhill Capital Sdn Bhd telah memeterai perjanjian penjualan saham dengan tiga syarikat bagi mengambilalih 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Northern Power Group Pty Ltd (NPG) yang terdiri daripada 100 saham biasa bernilai A$1 sesaham pada harga $3.2 juta (A$ 1 = RM3.14) tunai.
Ranhill Capital merupakan anak syarikat milik penuh Ranhill Holdings Bhd.
Ranhill Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, berkata tiga syarikat itu adalah Power PI Group Pty Limited (Australia), FTP Superannuation Pty Ltd (Australia) dan PRH Retirement Pty Ltd (Australia).
“NPG akan menjadi anak syarikat milik penuh Ranhill Capital Sdn Bhd, selepas pengambilalihan tersebut, tertakluk kepada syarat-syarat keperluan terdahulu dalam perjanjian yang dipenuhi oleh NPG,” katanya.
Sekarang ini, FTP Superannuation dan PRH Retirement memegang 30 peratus kepentingan setiap satu dalam NPG manakala baki 40 peratus dimiliki oleh Power PI. – BERNAMA