KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini mengarahkan supaya pusat-pusat pemindahan banjir di negeri itu melaksanakan aktiviti yang memberi faedah dan kebaikan kepada mangsa banjir.
Katanya, ini bermakna melibatkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Pejabat Pendidikan, Jasa, Pejabat Agama dan sebagainya supaya digerakkan aktiviti agar mangsa banjir memperolehi manfaatnya.
“Antara aktiviti yang akan diadakan seperti bacaan surah Yasin, ada permainan untuk kanak-kanak, ada sedikit hiburan dan sebagainya.
“Manakala Pejabat Pendidikan pula perlu menyediakan kaunselor-kaunselor bagi membantu mangsa yang mungkin ada masalah atau tertekan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini hari ini.
Ahmad Razif berkata langkah itu katanya bagi memastikan pusat-pusat pemindahan banjir lebih ceria dan tidak membosankan.
Katanya, beliau telah mengarahkan supaya peruntukan segera disalurkan bagi melancarkan perjalanan program berkenaan yang akan memberi manfaat kepada mereka yang terlibat. – BERNAMA