KAJANG – Ketika pembangkang lebih sibuk bercakap rakyat menderita konon harga barangan mahal, mereka tidak pula berbuat apa-apa untuk membantu penduduk kurang berkemampuan.
Sebaliknya, Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunos yang sedar dengan permasalahan ini bertindak menolong meringankan rakyat marhaen termasuk menjual pelbagai produk pengguna dengan harga murah.
Terbaharu, beliau yang amat terkenal menerusi pelbagai aksi gimik sinis terhadap skandal kerajaan negeri Selangor, melancarkan siri pertama Program Jelajah Jualan Ikan Segar Dengan Harga Patut di Semenyih pada Sabtu.
Acara tersebut sekali gus membuktikan harga makanan laut itu sebenarnya jadi mahal di pasaran selama ini akibat taktik ‘permainan jahat’ peraih atau orang tengah yang didakwanya bersekongkol dengan pihak pembangkang.
Lebih 1,000 orang sanggup beratur seawal jam 7 pagi di Pasar Tani Bandar Tasek Kesuma itu untuk membeli ikan dengan dijual pada harga runcit istimewa serendah hanya RM5 sekilogram yang lebih murah berbanding pasaran.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, jualan itu julung-julung kali diadakan dengan membekalkan sebanyak empat tan ikan dan ayam untuk rakyat berpendapatan rendah dapat menikmatinya.
“Program jualan seperti ini sememangnya berbeza dengan mana-mana tempat lain, yang mana setiap orang berhak datang untuk membeli sehingga maksimum tiga kilogram ikan dengan harga cuma RM5 sahaja setiap kilogram.
“Semua ini untuk membuktikan bahawa harga jualan ikan yang mahal di pasaran melalui orang tengah ini sengaja dilakukan oleh pihak tertentu supaya rakyat akan berasa marah kepada kerajaan Barisan Nasional diterajui UMNO.
“Maklumlah Pilihan Raya Umum Ke-14 sudah semakin dekat, jadi mereka (pakatan pembangkang) cuba meraih sokongan hasut rakyat dengan isu harga mahal, ini merupakan satu tindakan tidak bertanggungjawab,” kata Jamal.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program jualan ikan harga murah tersebut yang turut dihadiri ADUN (Barisan Nasional) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz pada Sabtu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA