DUNGUN – Seorang nenek berusia 75 tahun berdepan detik cemas apabila sebahagian atap rumahnya diterbangkan ribut dalam kejadian pukul 11.30 pagi semalam.
Ketika kejadian, Fatimah Muhammad berada di halaman rumahnya di Kampung Kuala Abang di sini manakala lima cucunya yang tinggal bersamanya keluar bekerja.
Cucu mangsa, Mohd Solahuddin Sanusi, 22, berkata beliau bergegas pulang untuk meninjau keadaan rumah neneknya itu sebaik sahaja dimaklumkan jiran.
“Memang terkejut bila tengok atap dah tiada, habis diterbangkan angin kuat…rumah habis dimasuki air hujan. Nenek saya sangat trauma dan kini tinggal di rumah mak cik saya yang berdekatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan mendapati kerja baik pulih atap rumah mangsa sedang giat dijalankan dengan melibatkan gotong royong penduduk kampung.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mokhtar Mamat berkata peruntukan segera kecemasan sebanyak RM10,000 disalurkan untuk tujuan itu.
“Kerja baik pulih dan memasang atap rumah mangsa dijangka siap dalam tempoh seminggu,” katanya. – BERNAMA