KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM13.25 juta bagi tujuan penempatan semula Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Tajul yang terletak di Kota Tinggi, Johor ke lokasi baharu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam merangkap Presiden MIC berkata lokasi baharu sekolah itu terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi asal yang merangkumi satu blok bangunan baharu terdiri daripada 12 bilik darjah serta lain-lain kemudahan.
“Pembinaan bangunan baharu di bawah Pelan Relokasi ini akan meningkatkan jumlah murid ke sekolah tersebut, yang mana pada masa kini sekolah ini hanya mempunyai 205 pelajar.
“Saya percaya dengan adanya bangunan baharu ini, murid dan warga sekolah akan dapat menikmati suasana pembelajaran yang lebih efisien,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Kelulusan Pembinaan SJKT Jalan Tajul di sini, hari ini.
Dr Subramaniam berkata sehingga kini sebanyak 524 SJKT telah dibina di seluruh negara, tujuh dalam peringkat pembinaan, termasuk sebuah sudah siap hampir 90 peratus.
Beliau berkata sekolah berkenaan dijangka akan siap sepenuhnya dan boleh digunakan untuk sesi pembelajaran selewat-lewatnya penghujung 2019.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan. – BERNAMA