SAMSUNG dikatakan secara tidak sengaja mengesahkan telefon pintar baru yang sedang diusahakan.
Bentuk telefon itu, yang desas-desusnya sudah kedengaran sejak beberapa bulan lalu, dijangka jauh berbeza daripada telefon-telefon lain di pasaran, lapor laman Independent.
Ia dijangka fleksibel, membolehkan para pengguna untuk melipat malah mengubah saiznya mengikut keperluan mereka.
Samsung turut menerbitkan ruang sokongan bagi telefon Galaxy X di laman rasminya minggu ini, bagaimanapun ruang sokongan itu sudah pun dipadamkan.
Meskipun ia tidak mendedahkan banyak mengenai telefon tersebut, hakikat menerbitkannya di laman mereka merupakan tanda bahawa syarikat tersebut sedang merancang untuk melancarkan Galaxy X tidak lama lagi.
Ruang sokongan itu juga tertera kod SM-G888N0, yang bermakna Galaxy X hanya akan dilancarkan di Korea Selatan sahaja, menurut Forbes.
Ini adalah satu langkah yang logik memandangkan Samsung baru sahaja melancarkan dua telefon bijak baru – Galaxy S8 dan Galaxy Note 8 dan enggan menanggung risiko menjejas penjualannya dengan melancarkan Galaxy X yang masih di peringkat percubaan.
Bentuk dan rupa Galaxy X ini masih belum jelas namun ia berkemungkinan boleh diubah saiz menjadi sebesar tablet atau dikecilkan kepada saiz telefon yang kecil. – MYNEWSHUB.CC