POLIS sedang menyiasat kes berhubung laporan anggotanya yang didakwa melarikan isteri orang seperti yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.
Lapor BH Online, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Datuk Gan Tian Kee mengesahkan pihaknya menerima laporan polis dibuat suami wanita berusia 31 tahun itu dipejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.
Hasil semakan mendapati, anggota polis berpangkat sarjan mejar terbabit dan wanita berkenaan turut membuat laporan polis.
“Siasatan dalaman akan dijalankan terlebih dahulu atas salah laku anggota polis berkenaan dan sekiranya terbukti tindakan diambil oleh jabatan berkaitan.
“Polis juga akan meneruskan siasatan jika ada keterangan atau bukti kesalahan jenayah dalam kes ini,” katanya.
Jumaat lalu, Azam Sniper menerusi laman Facebook mendakwa isterinya, Ariyani atau Lily dilarikan anggota polis berpangkat sarjan mejar yang bertugas di sebuah balai polis di Selangor.
Bersama posting itu, suaminya turut memuat naik gambar anggota polis berkenaan serta isterinya. – MYNEWSHUB.CC