SEOUL – Kementerian Pertahanan Seoul berkata pada Jumaat, pihaknya tidak bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan China berhubung sistem pertahanan peluru berpandu Amerika Syarikat yang ditempatkan di Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.
Sebuah saluran media tempatan melaporkan, China secara rasminya meminta Korea Selatan untuk mengadakan perbincangan terbuka mengenai sistem Terminal Ketinggian Tinggi Terminal (THAAD).
China tegas menentang langkah itu, yang disifatkan boleh menggugat kepentingan keselamatannya.
“Tiada sebarang perancangan untuk perbincangan sedemikian,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Nasional, Moon Sang-gyun.
Korea Selatan dan China mengumumkan satu perjanjian pada akhir Oktober untuk memperbaiki hubungan selepas lebih setahun hubungan diplomatik kedua-dua negara tegang.
Namun perjanjian itu, belum dapat merungkai sepenuhnya perselisihan berhubung isu THAAD dan China menyeru Korea Selatan mengambil tindakan “praktikal” untuk mengatasinya. – BERNAMA