MANILA – Usaha Malaysia untuk membela nasib pelarian Rohingya semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa, termasuk kuasa-kuasa besar apabila Setiausaha Luar Amerika Syarikat, Rex W. Tillerson akan melawat Myanmar, esok.
Perdana Menteri, Datuk Najib Tun Razak berkata Tillerson memberitahu beliau semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Asia Timur di sini bahawa beliau akan ke negara itu untuk melihat situasi pelarian Rohingya dan melihat cara untuk mengatasi masalah kemanusiaan itu.
“Sejak kita memperjuangkan isu Rohingya ini, ramai negara lain bangkit sama untuk membincangkannya. Nampaknya Amerika juga memandang serius sejak saya membangkitkannya semasa bertemu Presiden Donald Trump di Washington,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Lebih 600,000 penduduk Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar, telah melarikan diri ke Bangladesh berikutan serangan terhadap orang awam oleh tentera Myanmar dengan alasan memerangi militan bersenjata, sejak 25 Ogos lalu.
Najib juga berkata beliau telah menekankan kepada para pemimpin ASEAN dan rakan dialognya bahawa isu Rohingya bukan sahaja melibatkan soal kemanusiaan, tetapi juga keselamatan kerana ia bakal menjadi satu kawasan untuk kumpulan pengganas IS dan Daesh bertapak jika ia tidak ditangani dengan baik.
Awal bulan ini, satu rombongan Jabatan Luar Negeri Amerika Syarikat telah melawat Myanmar untuk melihat sendiri krisis penduduk Rohingya dan mengenai kaedah penyampaian bantuan kemanusiaan ke kawasan-kawasan yang memerlukan, serta melawat melawat Cox’s Bazar Bangladesh, tempat tumpuan pelarian.
Semalam, Najib menyatakan Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, yang mengetuai delegasi negara itu ke Manila, telah menyatakan bahawa negara itu sedang berunding dengan Bangladesh bagi mengadakan satu memorandum persefahaman (MoU) untuk menentukan penghantaran balik pelarian tersebut dari sempadan kedua-dua negara.
Najib juga berkata Suu Kyi turut menyatakan kesediaan kerajaan beliau untuk memberi kerjasama kepada misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Rohingya yang masih berada di Rakhine.
Perdana Menteri sekali lagi menegaskan Malaysia menyambut baik usaha Myanmar itu, tetapi mahu melihat butiran MoU serta syarat yang dikenakan bagi membolehkan pelarian itu pulang ke kampung halaman mereka.
Katanya, mereka difahamkan MoU itu akan dimuktamadkan dalam tempoh tiga minggu. – BERNAMA