SINGAPURA – Operator Aliran Transit Massa (MRT) Singapura, SMRT Corporation dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) sedang menyiasat insiden tren Joo Koon.
“Pagi ini pada 8.18 pagi, sebuah tren menuju ke Stesen Tuas Link terhenti di Stesen Joo Koon. Pada 8.19 pagi, tren kedua berhenti di belakang tren berkenaan. Pada 8.20 pagi tren kedua itu bergerak ke depan tanpa dijangka dan berlanggar dengan tren pertama,” kata dua organisasi berkenaan dalam satu kenyataan di sini.
Menurut kenyataan itu 23 penumpang dan dua staf SMRT mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Ng Teng Fong serta Hospital National University.
Ada lima perhentian antara Stesen Joon Koon dan Tuas Link.
Kedua-duanya di Jajaran Timur-Barat atau ‘Laluan Hijau yang mempunyai 35 stesen, menghubungkan Tuas Link dengan Lapangan Terbang Changi.
Insiden tidak menjejaskan perkhidmatan tren namun berlaku kelewatan antara 10 dan 30 minit bagi perjalanan ke Stesen Tuas Link, stesen terakhir Laluan Hijau di sebelah timur.
Sehingga berita ini dilaporkan, SMRT masih menyediakan perkhidmatan bas percuma antara Tuas Link dan Jurong East, iaitu ‘pertemuan’ Laluan Hijau dan Jajaranan Utara-Selatan atau Laluan Merah.
MRT merupakan sistem aliran transit yang membentuk komponen utama sistem rel di Singapura dengan jaringan merangkumi laluan sepanjang 198.6 kilometer dan 119 stesen.
Lapan jajaran itu dibangunkan oleh LTA, badan berkanun kerajaan Singapura dan dikendalikan oleh dua operator, SMRT Corporation dan SBS Transit. – BERNAMA