JOHOR BAHRU – Starbucks Malaysia membuka cawangan Starbucks Reserve perintisnya di wilayah selatan di gedung membeli belah Paradigm Mall yang baru dibuka, di sini, hari ini.
Pengarah Pemasaran, Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd, Esther Woo berkata dalam menyediakan kopi yang jarang dan eksotik, kemahiran penuh ketelitian oleh pakar kopi Starbuck, juga akan memberikan pengalaman yang tidak ada tandingannya kepada pelanggan di Starbucks Reserve.
“Pakar kopi menggunakan peralatan membancuh berbeza untuk membancuh kopi dan bergantung kepada pilihan pelanggan, Pelanggan juga boleh belajar daripada pakar kopi kaedah membuat kopi Reserve,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran cawangan itu, di sini, hari ini.
Starbucks Reserve akan menggunakan mesin espresso eksklusif pertama Malaysia, The Black Eagle, untuk menyediakan rasa kopi yang konsisten yang melengkapkan minuman signatur Starbucks.
Kedai itu diurus sepenuhnya oleh barista pakar kopi yang diperakui oleh Coffee Masters bagi memastikan setiap hidangan kopi dibancuh dengan sempurna.
Terdapat empat kedai kopi Starbucks Reserve lain di Malaysia yang terletak di The Gardens, Sunway Pyramid, Publika dan Sky Avenue di Lembah Klang. – BERNAMA