KUCHING – Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) meningkatkan promosi dalam semua segmen pelancongan untuk kekal relevan terutama selepas penguatkuasaan cukai pelancongan pada 1 Sept lalu.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata STB memanfaatkan platform pemasaran digital yang dilihat diterima baik oleh orang ramai dengan laman sesawang utama STB merekodkan 648,697 ‘followers’ manakala pelawat laman sosial Facebook meningkat tiga peratus kepada 137,500 berbanding tahun sebelumnya.
“Sasaran jangka panjang ialah mewujudkan sektor acara-acara perniagaan mampan dan sasaran jangka pendek pula untuk terus memperoleh lebih banyak acara perniagaan bagi Sarawak,” katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, aktiviti STB pada 2018 akan diterajui oleh jualan dan pemasaran, disokong oleh kegiatan pembangunan industri.
Abdul Karim berkata Sarawak kini merupakan destinasi peringkat dua bagi acara-acara perniagaan di rantau ini.
Katanya dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, STB berjaya membawa masuk 73 acara perniagaan ke Sarawak.
“Keseluruhannya 73 acara ini menjana sekitar RM81.7 juta dari segi perbelanjaan peserta di Sarawak,” katanya.
Abdul Karim berkata bagi tempoh Januari hingga September lalu, Sarawak menerima 3.72 juta pelawat, peningkatan 9.81 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
“Angka ini menjana sekitar RM6.9 bilion dan berdasarkan trend ketibaan purata bagi tempoh Oktober hingga Disember, kementerian menjangka ketibaan pelawat ke Sarawak bagi 2017 meningkat 7.3 peratus berbanding 4.66 juta pada 2016,” katanya.
Beliau turut memaklumkan persidangan sektor pelancongan Sarawak dijangka menyumbang RM8.98 bilion (meningkat 6.9 peratus) atau 8.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negeri bagi 2017.
“Untuk 2018, kementerian menyasarkan 5.25 juta ketibaan pelawat dengan anggaran pendapatan RM9.82 bilion,” katanya. – BERNAMA