BIASANYA di sebalik kejayaan seorang lelaki pasti ada seorang wanita yang sentiasa menyokongnya. Tapi bagaimana pula jika seorang suami yang menjadi pendorong dan kekuatan terhadap sang isteri?
Rasanya semua sudah sedia maklum mengenai berita mengejutkan tentang ujian besar sedang menimpa penyanyi yang sering tampil di atas pentas tanpa berkasut, iaitu Erneelya Elyana Emrizal atau Elyana.
BACA: Tersingkir Gegar Vaganza, Elyana Umum Hidap Kanser
JUGA: “Elyana Wanita Tabah, Inspirasi Untuk Kita Semua”
Hari ini, Khairul Anuar Hussin yang merupakan suami kepada Elyana telah berkongsi bagaimana peritnya kehidupan isterinya selepas mengetahui bahawa dia menghidap kanser limfoma.
Khairul dikatakan sering memujuk dan menasihati isterinya yang tercinta supaya tidak terlampau emosi selepas mengetahui berita mengenai penyakit yang dihidapinya.
“Ajal dan maut di tangan Allah, jangan fikir tentang sakit, hiduplah seperti orang biasa,” katanya dipetik daripada Astro Gempak.
Tambah Khairul, di sebalik segala senyuman dan keceriaan Elyana, ada satu perasaan yang mana hanya dia sahaja yang tahu betapa luluhnya hati ibu kepada seorang cahaya mata itu ketika dikatakan menghidapi kanser limfoma tahap dua pada tahun 2012 yang lalu.
“Memang kami terkejut sebab Elyana baru sahaja melahirkan anak sulung kami namun doktor maklumkan kanser ini boleh dirawat. Tapi, bagi kami kanser tetap kanser!
“Emosi Elyana ketika itu betul-betul terjejas. Dia mahu buat comeback selepas bersalin, fikirkan tentang anak dan tambah pula ujian penyakit kanser yang tahu tiba-tiba.
“Dia rasa bercelaru sebab terlalu memikirkan perkara-perkara itu. Katanya, apa akan jadi pada Cinta Sumayyah kalau dia sudah tiada nanti?” ujarnya lagi.
Tiada siapa yang mahu orang yang tersayang menghidapi penyakit yang boleh membawa maut.
Waktu itu, mereka masing-masing bagaikan ditimpa suatu beban yang amat berat.
Namun apakan daya, sebagai suami dan ketua keluarga, Khairul perlu terus berdoa agar mereka kuat menimpa dugaan ini serta sentiasa berada di sisi Elyana.
Keadaan Elyana bertambah merosot apabila dia mula berasa emosi ketika memulakan rawatan kemoterapi.
Bagaimanapun, selepas sebanyak enam kali menjalani rawatan, mereka merasakan bahawa Elyana masih mempunyai harapan untuk pulih apabila sel kanser itu mula mengecut tapi apakan daya… Penyanyi itu sudah tidak berdaya lagi menanggung derita kesakitan yang dialaminya.
“Saya paksa dia buat kemoterapi sebab kelenjar itu mulai mengecut dan ada progres. Selepas enam kali membuat kemoterapi, dia sudah tiada daya. Hari-hari tertekan dan sakit.
“Setiap kali mandi apabila melihat keadaan rambut bersepah-sepah, dia tambah tertekan dan akhirnya membuat keputusan untuk memberhentikan rawatan itu.
“Kecewa memang kecewa namun saya kasihankan isteri saya. Kami ikut kata hati dan memberhentikan rawatan kemoterapi untuk memberikan ruang dan masa kepada isteri saya,” tambah Khairul.
Walaupun pada tahun ini Elyana sudah nekad untuk kembali ke dalam industri muzik dan semangatnya sudah membara-mara, ketika itu juga doktor mengesahkan bahawa kanser tersebut sudah sampai di tahap empat!
Namun walaupun sudah mencapai tahap terakhir, Elyana masih lagi kuat untuk melawan penyakitnya demi masa depan anaknya, iaitu Cinta Sumayyah.
Setiap hari, pasti ada sahaja doa yang diberikan kepada penyanyi cantik jelita ini. Mudah-mudahan dengan doa yang tak henti-henti itu akan membuatkan Elyana tetap bertahan dan terus kuat. –MYNEWSHUB.CC / AH