KUALA LUMPUR – Sudan mahu meningkatkan dan meluaskan hubungan dagangan dua hala dengan Malaysia selepas Amerika Syarikat (US) menarik balik sekatan ekonomi ke atas negara itu pada 6 Okt lepas.
Duta Besarnya ke Malaysia, Hamza Omer Hassan Ahmed, berkata susulan pembatalan itu, kedua-dua negara tidak lagi disekat daripada terlibat dalam perdagangan.
Pembatalan itu akan memberi kesan positif ke atas pelbagai sektor ekonomi Sudan, termasuk perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan penyelidikan, infrastruktur, pertanian dan sektor lain, katanya.
“Kini rakyat Malaysia boleh menjalankan perniagaan di Sudan kerana perkhidmatan perbankan akan lebih mudah diakses dan boleh dipercayai, terutama pemindahan dana antara bank ke Sudan dan dari luar.
“Ini akan menstabilkan kadar pertukaran mata wang asing negara dan menggalakkan aliran masuk pelaburan langsung dari Malaysia ke Sudan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pada masa ini, jumlah dagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara masih kecil dan potensi yang besar masih belum dapat diteroka.
“Eksport utama Malaysia ke Sudan ialah minyak kelapa sawit, produk logam dan jentera, manakala import terdiri daripada kebanyakan produk pertanian seperti gum Arab, buah-buahan, kayu dan jintan hitam, selain produk petroleum,” kata Hamza Omer.
Duta besar itu berkata para pelabur Malaysia boleh memasuki sektor pertanian dan ternakan di Sudan, yang merupakan pembekal daging lembu besar ke Malaysia.
“Sudan merupakan tempat terbaik untuk mengimport daging lembu. Daging lembu sangat sedap, organik dan bebas bahan kimia, dan 100 peratus halal,” katanya.
Beliau juga berkata Sudan kaya dengan sumber asli dan mineral, dengan tanah yang luas dan subur untuk pertanian serta air yang boleh diminum.
“Ketersediaan luas tanah yang belum diusahakan serta iklim yang berbeza menjadikan Sudan sesuai untuk menanam tanaman bijirin dan hortikultur,” kata Hamza Omer.
Di samping itu, beliau menggesa syarikat Malaysia melabur dalam perlombongan emas yang menjanjikan prospek yang tinggi.
Sementara itu, beliau berkata Kenana Sugar Company (KSC) Sudan, yang merupakan kilang gula bersepadu dan pelbagai di dunia, menyatakan kesediaan untuk membawa kepakaran dan sumbernya untuk membantu mempelbagaikan industri pemprosesan gula di Malaysia.
“Ada kemungkinan Malaysia menghasilkan gula yang diproses walaupun negara ini tidak mempunyai tanah untuk ladang tebu.
“Syarikat atau individu boleh melabur dalam KSC dan boleh membeli tanah di Sudan untuk ladang tebu, dan menghantar balik gula yang diproses ke Malaysia,” katanya.
Hamza Omer berkata Malaysia merupakan antara negara terawal yang melabur di Sudan, menerusi Petronas pada 1995, selepas terjalinnya hubungan antara Khartoum dan Kuala Lumpur pada 1991.
“Malangnya, kebanyakan telaga minyak kini menjadi milik Sudan Selatan, namun Petronas masih mempunyai ibu pejabat yang besar di Khartoum, antara yang terbesar di Afrika,” katanya.
Sudan Selatan keluar dari Sudan dan menjadi negara merdeka pada 2011.
Duta besar itu berkata kerajaan Sudan konsisten dalam usaha untuk mematuhi dan mengekalkan perjanjian damai dengan negara jirannya.
“Keadaan politik di negara ini stabil dan aman dan kami akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan kestabilan itu,” kata Hamza Omer. – BERNAMA