PENCULIKAN kanak-kanak merupakan antara isu yang sering kita dengar terjadi di Malaysia. Ianya bertambah serius apabila ada pihak yang terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia.
Jadi, tidak hairanlah kebanyakan ibu bapa kini menggunakan baby harness pada anak-anak mereka. Lagi-lagi jika mereka berjalan-jalan di tempat awam.
Disebabkan itu, pengurusan sebuah pusat beli-belah terkenal, Sunway Pyramid terpanggil untuk membantu mencegah masalah tersebut.
Bersempena cuti sekolah yang bakal tiba, pengurusan pusat beli-belah terkemuka yang terletak di Kuala Lumpur itu menyediakan ‘tatu’ buat si kecil.
“Hai ibu bapa! Bersempena cuti sekolah yang akan datang, kami telah menyediakan ‘Child Safe Emergency Contact Tattoo’ (Tatu Talian Kecemasan Keselamatan Kanak-kanak) yang mudah diletakkan di lengan anak anda dengan kain lembap atau span,” tulisnya di laman Facebook.
Tatu yang dipanggil ‘Child Safe Emergency Contact Tattoo‘ itu adalah tatu sementara yang boleh dilekatkan pada tangan kanak-kanak yang datang ke pusat beli-belah tersebut.
Menerusi Facebooknya, pengurusan Sunway Pyramid menyediakan tatu sementara itu secara percuma dan boleh diambil di tingkat G dan LG (berdekatan Restoran Marakesh) premis berkenaan.
Nombor telefon pusat beli-belah itu turut disertakan di tatu sementara tersebut. Nombor tersebut akan terus disambungkan ke pihak polis bantuan dan kakitangan yang bertugas.
Menurut entri yang dimuat naik page Sunway Pyramid, tatu tersebut boleh dibersihkan menggunakan tisu lembap, pembersih tangan dan minyak bayi.
Mungkin cara ini dapat membantu mengurangkan kadar jenayah penculikan yang berlaku.
Tetapi, ibu bapa masih perlu memainkan peranan mereka dalam memastikan keselamatan anak-anak sentiasa terjamin lebih-lebih lagi di tempat awam. – MYNEWSHUB.CC/SA
*Video bawah sekadar hiasan…