Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Tun M Biadap Anggap...

KUALA KANGSAR - Paku dulang, paku serpih, kata orang tapi dia pula yang...

AirAsia Akan Terus Perluas...

KUALA LUMPUR – AirAsia akan terus memperluas kedudukannya di China dan pada masa...

Borang Pencalonan 4 DUN...

KUCHING - Empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mencatat jualan borang pencalonan tertinggi...

Nik Nazmi Tak Kisah...

KUALA LUMPUR - "Tidur semalam di lokap adalah pengorbanan kecil," kata Ketua Angkatan...

Suzaily, Kisah Tragik Mangsa Bunuh Kejam Di Malaysia

SETIAP hari pasti ada sahaja berita mengenai kes culik, rogol dan bunuh di seluruh Malaysia yang terpampang dalam dada akhbar serta layar televisyen.

Apa yang menghairankan, semakin kerap dipaparkan, semakin menjadi-jadi pula kes jenayah kejam ini seolah-olah satu kebanggaan bagi pesalah jika jenayah yang dilakukan jadi paparan umum.

Nampaknya, manusia sekarang benar-benar sudah keterlaluan. Nafsu mengalahkan binatang!

Entah jin apa agaknya yang merasuk minda mereka sehingga sanggup bertindak di luar batas dengan menamatkan nyawa orang lain demi kepuasan nafsu sendiri.

Namun masihkah anda ingat dengan kes rogol dan bunuh seorang wanita yang ketika itu berusia 24 tahun bernama Noor Suzaily Mukhtar beberapa belasan tahun lalu?

Malaysia pernah digemparkan dengan berita mengenai kes jenayah kejam tersebut yang melibatkan mangsa seorang jurutera komputer di Klang, Selangor dan berasal dari Perlis.

Kejadian ini berlaku di antara Lorong Pegaga, Taman Chi Liung dengan tapak pembinaan projek perumahan di Taman Bukit Tinggi antara pukul 8.50 pagi hingga 9.15 pagi pada 7 Oktober 2000.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan menaiki bas dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah hospital swasta di ibu kota bagi melapor diri untuk kali pertama memulakan kerja idamannya.

Menurut sumber, pemandu bas berkenaan dikatakan menurunkan kesemua penumpang kecuali Suzaily sebelum bertindak mengambil laluan lain dan melakukan jenayah tersebut di sebuah lokasi.

Sebaik sahaja mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, Suzaily dikatakan mula panik dan menjerit untuk meminta tolong.

Mangsa turut mengetuk cermin bas dan cuba keluar mengikut pintu kecemasan namun gagal apabila pemandu bas berkenaan terlebih dahulu mengunci semua pintu melalui suis automatik yang terdapat di panel pemandu.

Bagaimanapun, jeritan mangsa terhenti apabila ditampar dan ditumbuk  oleh suspek ketika terjadi pergelutan.

Sumber berkata, sewaktu pergelutan berlaku mangsa telah dirogol serta diperlakukan dengan kejam di dalam bas tersebut.

Selain dirogol dan diliwat, Suzaily turut dipukul dengan teruk sehingga menyebabkan 44 kesan kecederaan di tubuhnya.

Namun, episod malang gadis itu tidak berakhir di situ sahaja apabila Suzaily turut dijerut menggunakan kain pada leher sehingga meragut nyawanya.


Lebih kejam, mayatnya dicampak di sebuah jalan di kawasan pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang selepas lelaki durjana itu selesai melampiaskan nafsu binatangnya.

Tertuduh utama bagi kes ini ialah seorang pemandu bas dikenali sebagai Hanafi Mat Hassan berasal dari Bachok, Kelantan. Pesalah telah ditahan polis di terminal bas Klang tiga hari selepas kejadian berlaku.

Sumber melaporkan pada awal perbicaraan, lelaki berusia 32 tahun itu tidak mengaku bersalah dengan mereka-reka cerita kononnya dia terlihat mangsa turun daripada bas dalam keadaan yang tergesa-gesa.

Bagaimanapun, keadilan telah berjaya ditegakkan apabila pihak polis dan penyiasat menjumpai kesan air mani milik Hanafi di atas lantai bas dan juga bahagian rahim Suzaily.

Tambahan pula, ketika kejadian berlaku seorang pelajar sekolah yang juga merupakan saksi utama, Devan a/l Anbalagan terlihat mangsa mengetuk cermin tingkap bas yang dipandu suspek dalam keadaan tidak terurus.

Namun, saksi gagal untuk mengekori bas berkenaan yang dipandu laju kerana dia hanya menunggang basikal.

Hanafi telah didapati bersalah lantas dijatuhkan hukuman mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu penjara selama 20 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan merogol.

Selain itu, dia juga telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas disabitkan atas kesalahan membunuh mengikut seksyen 302 kanun yang sama.

Pada 19 Disember 2008, Hanafi dilaporkan telah maut di tali gantung di Penjara Kajang, Selangor.

Mayat suspek telah dihantar ke Hospital Kajang untuk tujuan bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga dan dibawa ke kampung halaman bagi urusan pengebumian.

Untuk rekod, ketika kejadian berlaku allahyarham Noor Suzaily tidak berpakaian seksi tetapi hanya mengenakan baju kurung dan memakai tudung.

Diharapkan kejadian tragik seperti ini dapat dijadikan sebagai pedoman buat kita semua untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang. – MYNEWSHUB.CC/AM

1 komen

Comments are closed.

Kategori