ANGIN dingin dan hujan renyai ‘menyambut’ permulaan hari kedua kami di Taipei, Taiwan dalam pakej Pesona Taiwan Muslim Tour kelolaan Five Estec Travel Services Sdn. Bhd.
Tetapi, itu tidak mematahkan semangat kami menerokai bandaraya ini. Malah, kami teruja kerana hari kedua ini membuka mata kami tentang betapa Taipei mampu memuaskan hati semua daripada pencinta alam sehinggalah kepada yang kaki ‘shopping’!
Selepas sarapan pagi, kami terus bergerak ke lokasi pertama iaitu Yangminshan National Park yang terletak di Taichung.
Pada perancangan awalnya, kami sepatutnya melawat kawasan Xiaoyukeng Recreation Area yang mempunyai kolam air panas sulfur gunung berapi serta permandangan yang menakjubkan, namun hujan turun dengan lebatnya berserta kabut sekaligus membantutkan rancangan kami untuk menikmati kecantikan alam semulajadi di sini.
Baca: Taiwan Janjikan Pengalaman Berbeza
Juga: Promosi Hebat! Tawan Taiwan Dengan Harga Menarik
Seterusnya, kami terus bergerak ke Chiang Kai Shek Shilin Residence Park yang merupakan taman awam yang dahulunya dimiliki oleh bekas Presiden Taiwan, Chiang Kai Shek.
Sebelum ini, estet ini merupakan taman persendirian beliau namun telah dibuka kepada umum. Tarikan utama di sini haruslah taman bunga mawarnya yang dipenuhi 4,000 batang pokok bunga tersebut.
Pohon-pohon mawar ini istimewa sekali kerana asalnya ditanam dan dijaga oleh isteri presiden tersebut, Madam Soong May-ling.
Selain taman mawar, pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk meninjau keindahan taman Eropah, Oriental dan Shilin Garden Zone yang sangat cantik dan dijaga dengan baik sekali.
Seterusnya, kami dibawa makan tengah hari di restoran halal iaitu Kunming Restaurant yang menyajikan masakan Cina Muslim dari Tanah Besar China.
Perut kami yang sedang berkeroncong ketika itu sangat ‘gembira’ apabila disajikan dengan pelbagai hidangan seperti ikan stim, mi makanan laut, sate kambing dan sup ketam dan jagung.
Setelah perut terisi, kami meneruskan lawatan ke Taipei Expo Park yang sedang mengadakan ekspo kebudayaan kaum asli di negara itu.
Menurut pemandu pelancong kami iaitu Cik Leslie, terdapat 400 bangsa asli di Taiwan dan kajian mengesahkan mereka mempunyai keturunan yang lebih rapat dengan orang Melayu dan kaum Austronesia.
Kemudian, kami dibawa ke Grand Hotel Taipei yang merupakan sebuah hotel mewah dengan ciri bangunan yang menggabungkan budaya dan arus permodenan.
Seterusnya, kami berada di Shilin Night Market pula, di mana mata kami menjadi rambang dek aneka cenderahati tempatan dijual di situ.
Harganya pula tidaklah terlalu mahal, sekitar 100 dolar Taiwan (NT$) bersamaan RM13.87 untuk 4 keychain atau magnet peti ais.
Untuk makanannya pula, terlalu banyak sajian unik yang dijual di sana tetapi Muslim hanya digalakkan untuk mencuba makanan laut dan pencuci mulut sahaja lah, ya.
Harganya memang tinggi sedikit berbanding di Malaysia, namun jika mahu bandingkan dengan Seoul atau Tokyo, Shilin jauh lebih murah.
Contohnya seperti sotong raja (sotong besar) goreng atau panggang harganya antara NT$100 (RM13.87) ke NT$120 (RM16.64).
Penulis juga telah berkesempatan mencuba minuman tradisi masyarakat Taiwan iaitu teh peria putih yang dimaniskan dengan sedikit madu. Sangat menyegarkan dan tidak sepahit yang disangka!
Usai di pasar itu, kami dibawa menikmati malam malam di Yunos Restaurant iaitu antara restoran Muslim yang popular di Taipei City.
Menawarkan pilihan masakan Thai yang lazat dengan harga berpatutan membuatkan suasana menjamu selera lebih menyeronokkan bagaikan berada di menikmati sajian enak Thai di Malaysia!
Begitulah hari kedua kami yang sarat aktiviti di Taipei, Taiwan.
Penat tapi amat berbaloi!
Jika anda berminat untuk menyertai lawatan ini & ingin periksa kekosongan tarikh, anda boleh hubungi Five Estec Travel Services Sdn. Bhd. di talian 03-91002101/03-91002004.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh menghubungi melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-6912857/013-2560140.-
Atau terus saja ke laman Facebook Five Estec di sini. Selamat bercuti! – MYNEWSHUB.CC/SK