SEBAGAI ibu bapa, kita pasti mahu memberikan yang terbaik buat anak. Namun, apakan daya jika anak yang ditatang bagai minyak yang penuh itu akhirnya melakukan perkara mungkar di belakang.
Seorang ibu terkejut apabila dia mendapati anak perempuannya yang masih berusia 15 tahun telah melahirkan anak di dalam tandas ketika mereka sekeluarga bersama dengan suami dan seorang lagi anaknya sedang bersiar-siar.
Insiden ini dilaporkan berlaku di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, Sabah. Difahamkan bahawa pasangan suami isteri itu langsung tidak mengetahui bahawa anak mereka sedang hamil.
Pada mulanya, remaja berkenaan mengadu kepada ibunya bahawa dia mengalami senggugut serta sakit di bahagian perut dan terus menuju ke tandas berdekatan sekitar pukul 4.30 petang semalam.
Namun, selepas hampir satu jam menanti, si ibu bergegas masuk ke tandas dan dia terperanjat apabila melihat anaknya itu sedang mendukung seorang bayi yang dipenuhi dengan darah.
Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Supritendan Rosley Hobden, remaja terbabit bersama dengan bayinya kini sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.
Tambahnya lagi, selepas pasangan tersebut mengetahui keadaan anaknya, mereka terus membawa remaja berkenaan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut serta membuat laporan polis.
“Selepas masuk ke tandas itu, dia menjumpai anaknya bersama seorang bayi,” ujar Rosley yang dipetik media tempatan.
Remaja tersebut mendakwa bahawa dia telah melakukan hubungan seks dengan bekas teman lelakinya yang berusia 17 tahun, namun mereka telah berpisah kira-kira lima bulan lalu.
Usaha menjejaki lelaki tidak bertanggungjawab tersebut masih lagi dilakukan untuk membantu siasatan pihak polis. – MYNEWSHUB.CC/AH
*Video sekadar hiasan…