DHAKA – Menteri Luar China, Wang Yi, mendesak Bangladesh dan Myanmar mengadakan rundingan dua hala bagi menangani krisis Rohingya, berbanding bergantung kepada inisiatif yang dilaksanakan pihak antarabangsa.
“Masyarakat antarabangsa tidak seharusnya merumitkan lagi keadaan.
“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu perlu membantu menganjurkan kerjasama dua hala bagi menangani masalah ini secara aman,” kata Wang pada satu taklimat media di Kedutaan China di sini, semalam.
Wang tiba di sini, semalam, dalam rangka lawatan selama dua hari, sebelum berlepas ke Myanmar bagi menghadiri Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM).
“China menyokong usaha untuk menyelesaikan krisis ini secara aman, menerusi rundingan dua hala antara Bangladesh dan Myanmar,” katanya.
Sejak Ogos lalu, lebih 600,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh susulan operasi yang dilancarkan oleh tentera Myanmar ke atas wilayah Rakhine.
Sementara itu, Menteri Luar Bangladesh, Abul Hassan Mahmood Ali, berkata negaranya berusaha untuk menyelesaikan isu itu menerusi rundingan dua hala, selain dengan bantuan pihak antarabangsa.
Abul Hassan ketika memaklumkan perkara itu kepada Wang berkata, negaranya sudah tidak mampu lagi untuk menanggung beban, berikutan jumlah pelarian Rohingya yang semakin meningkat. – Reuters/BH ONLINE