PONTIANAK – Seramai 13 pegawai daripada Briged Ketiga Infantri Malaysia dan 20 pegawai Kolakopsrem 121 Alam Bhana Wanawai (KOREM 121ABW), Indonesia terlibat dalam aktiviti dua hala pada program Lawatan Timbal Balas Dan Mesyuarat Unit Komander Siri 2/2017 di Pontianak, Indonesia.
Program berkenaan diadakan dua kali setahun adalah untuk mengekalkan hubungan akrab antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI- AD) yang sudah sekian lama terjalin.
Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin ketika berucap pada majlis makan malam program tersebut berkata aktiviti dua hala yang berlangsung selama empat hari ini mampu mewujudkan persefahaman dan ruang penyelesaian bagi setiap permasalahan dari sudut pengoperasian di perbatasan negara Malaysia-Kalimantan Barat (KALBAR).
Katanya UCM Siri 2/2017 mampu memberi peluang kepada wakil Ketua Staf 3 Brigediaitu Lt Kol Salmi Istikh Ahmad dan Ketua Staf KOREM 121ABW, Kolonel CZI Arnold A.P Ritiauw untuk mengutarakan, membincangkan dan menyelesaikan segala isu-isu hangat di perbatasan.
Menurut Mohd Bustaman, program lawatan timbal balas dan mesyuarat dua hala itu harus dikekalkan bagi perbincangan dan percambahan pendapat antara TDM dan TNI- AD bagi membuahkan hasil yang bernas demi keamanan di kedua-dua negara dalam menangani isu semasa di persempadanan.
UCM Siri 2/2017 diakhiri dengan majlis menandatangani Minit Mesyuarat UCM Siri 2/2017 oleh Lt. Kol. Salmi Istikh Ahmad dan Kolonel CZI A.P Ritiauw. Turut hadir Panglima TNI Brigedier Jeneral Bambang Ismawan selaku Komandan KOREM 121ABW. – BERNAMA