KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan mengesahkan setakat ini belum ada lagi mana-mana hotel di sekitar ibu negara selain Putrajaya dan Labuan yang bersifat anti-hijab.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sekiranya ada hotel mengamalkan diskriminasi sedemikian, tindakan tegas boleh diambil oleh tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menyelia tiga wilayah itu.
Beliau bahkan mengeluarkan arahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menarik balik lesen jika ada hotel di ibu negara yang didapati melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan.
Tengku Adnan turut meluahkan perasaan kesal sekiranya terdapat pihak hotel berbuat demikian dan memberi jaminan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengusaha hotel yang didapati mengamalkan polisi pelik itu.
Baca: Hotel Larang Staf Berhijab Langgar Perlembagaan
Juga: ‘Kurang Ajar!’ – Menteri Berang Hotel Larang Hijab
Serta: PPIM Mahu Umat Islam Boikot Hotel Anti-Hijab
“Saya tidak faham kenapa mereka tidak bagi wanita bertudung menjadi ‘front liner’. Kita akan akur kepada arahan daripada pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Buat masa ini di Wilayah Persekutuan, semuanya tiada masalah. Semua yang bertudung boleh pakai,” katanya kepada pemberita sebagai mengulas kenyataan Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar di Parlimen semalam.
Beliau mengarahkan semua PBT di seluruh negara untuk segera menarik balik lesen operasi mana-mana hotel yang melarang wanita Islam berhijab untuk bekerja di bahagian khidmat pelanggan konon mengikut polisi ditetapkan.
Terdahulu, Tengku Adnan hadir merasmikan acara Konvensyen Strata Yang Mampan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Institut Latihan DBKL (IDB), Bandar Tun Razak di sini hari ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA