KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan syarikat utiliti milik Indonesia, PT PLN (Persero) (PLN), akan bersama-sama membangun loji janakuasa berkuasa arang batu 2×200 megawatt di Kalimantan, Indonesia.
Dalam satu kenyataan hari ini, TNB berkata di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara TNB dan PLN hari ini, loji janakuasa yang dicadangkan itu antara lain akan membekalkan dan mengeksport elektrik ke Sabah.
TNB menguasai 83 peratus Sabah Electricity Sdn Bhd yang menyediakan perkhidmatan penjanaan, penyaluran dan pengedaran elektrik di Sabah, sementara kerajaan negeri Sabah memiliki 17 peratus.
MoU itu sah selama dua tahun, di mana kedua-dua pihak akan meneroka dan mengkaji model perniagaan terbaik, risiko berkaitan dan pilihan pembiayaan berhubung projek tersebut.
Menurut TNB, projek itu sejajar dengan rancangan pengembangan global untuk mendapatkan kapasiti penjanaan luar negara yang baru dan usaha untuk memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat di Sabah. – BERNAMA