SHAH ALAM – Seorang lelaki yang sedang leka berjoging tidak menyangka objek yang pada awalnya disangka dahan kayu rupa-rupanya seekor ular sawa sepanjang 4.3 meter dan seberat 30 kilogram.
Zulkhibri Mohammed, 43, yang ketika itu secara kebetulan sedang berjoging di Seksyen U5, di sini Sabtu berkata, dia tidak dapat melihat dengan jelas reptilia liar tersebut kerana suasana masih lagi gelap selain hujan renyai-renyai.
“Hanya setelah datang agak dekat sedikit baharu saya sedar bahawa objek yang disangkakan sebagai dahan kayu itu rupa-rupanya seekor ular sawa besar tetapi mujur saya bernasib baik kerana reptilia tersebut tidak pula agresif.
“Namun, rasa bimbing jika ular sawa itu mungkin mengancam keselamatan orang ramai yang sering berjoging di sekitar sini, saya kemudian segera menghubungi pihak berwajib,” kata lelaki berkenaan dipetik akhbar tempatan.
Dalam pada seorang pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Klang, Kapten Shairul Azril Zainal yang dihubungi berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan tersebut kira-kira pukul 7.43 pagi hari ini.
“Tiga anggota kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian dan mereka berjaya menangkap ular sawa tersebut yang dalam keadaan kekenyangan dipercayai baharu sahaja membaham mangsanya,” jelas beliau lagi.
Shairul pada masa yang sama turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika berhadapan dengan reptilia, khususnya yang berbisa dan perlu sentiasa menghubungi talian kecemasan untuk tindakan segera.
Bagaimanapun akhbar tersebut tidak melaporkan sama ada ular berkenaan akan dilepaskan di mana-mana hutan atau diserahkan pula kepada pihak Perhilitan untuk tindakan susulan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA