IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan hubungan kerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing dari Iraq dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam mengukuhkan usaha untuk menyerlah sebagai universiti pendidikan utama dunia.
UPSI, dalam kenyataan hari ini, berkata kerjasama dengan Iraq itu melibatkan University of Tikrit, Salahaddin University dan University of Mosul manakala di UAE adalah Al Ain University of Science and Technology dan University College of Mother and Family Sciences.
Menurut kenyataan tersebut, kerjasama itu terjalin hasil daripada lawatan sembilan hari ke kedua-dua negara itu oleh rombongan petugas UPSI diketuai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Mohd Sahandri Gani Hamzah pada 12 Nov lalu.
“Antara kerjasama yang akan dilaksanakan ialah berkaitan hal ehwal penajaan pelajar serta projek pendidikan bagi tempoh jangka masa panjang,” demikian menurut kenyataan itu. – BERNAMA