SEREMBAN – Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang pertama di Negeri Sembilan memulaka operasinya hari ini di Plaza Angsana, Ampangan di sini.
UTC berkenaan, yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, dibuka kepada orang ramai mulai 8.30 pagi tadi.
Selain Kementerian Sumber Manusia, jabatan dan agensi lain yan menempatkan cawangan di UTC itu ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Tabung Haji, Majlis Amanah Rakyat, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia-Y Centre.
Agensi-agensi negeri, TM Point, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Balai Polis, Klinik Kesihatan dan Klinik Pergigian juga terdapat di UTC itu.
Selain itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menempatkan pejabat masing-masing di UTC berkenaan tetapi ia belum memulakan operasinya.
Tinjauan Bernama mendapati para pengunjung menyambut baik langkah kerajaan menyediakan UTC itu kerana ia menjimatkan masa dan wang mereka untuk berurusan di satu tempat yang sama.
Surirumah, Bibi Amnah Nawab, 60, berkata beliau ke UTC itu untuk menyelesaikan urusannya di Tabung Haji, namun tidak menyangka adanya Klinik Kesihatan di situ.
“Saya rasa bagus…sebelum ini saya banyak urusan seperti ke Klinik Kesihatan dan lain-lain urusan, sudah tentulah ia akan mengambil masa yang lama untuk ke sesuatu tempat.. Dengan adanya UTC, ia memudahkan urusan saya.
“Tambahan pula, UTC ini selesa dan luas berbanding dengan bangunan lain dan mesra pengguna termasuk kemudahan untuk golongan warga emas dan orang kurang upaya,” katanya.
Juruteknik swasta, Mohd Rifdi Zahir Abd Razak, 29, pula berkata beliau dan isteri serta dua anaknya memilih untuk ke UTC untuk melihat sendiri kecekapan dan persekitaran yang ada di dalam Plaza Angasana itu.
“Ternyata, perkhidmatan di UTC cepat, angka giliran tidak terlalu banyak dan selesa. Hari ini, saya ada urusan di Tabung Haji dan urusannya sangat cepat. Bagus semuanya ada di bawah satu bumbung dan ia memudahkan saya,” katanya.
Penjawat awam, Ahmad Solihin Abd Rani, 36, berkata kekangan masa yang dihadapinya sebelum ini nyata telah diselesaikan dengan wujudnya UTC berkenaan.
“Alhamdulillah, dengan adanya UTC ini saya boleh menyelesaikan urusan saya selepas habis waktu bekerja,” katanya.
UTC Negeri Sembilan terletak di Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini dan beroperasi dari 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Bangunan tiga tingkat itu, yang sebelum ini merupakan Plaza Angsana, telah melalui proses ubah suai dan menempatkan 18 agensi kerajaan dan swasta.
UTC itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Nov ini.
Di Negeri Sembilan, terdapat sebanyak 12 Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mini di Jempol, Kuala Pilah, Rembau, Tampin, Seremban, Jelebu dan Port Dickson bertujuan membolehkan penduduk mendapatkan perkhidmatan awam dengan mudah secara berpusat di satu lokasi. – BERNAMA