AKSI seorang wanita yang elok bertudung namun mencuri di sebuah kedai makan berhampiran Kompleks Peruda, Alor Setar, menjadi tular di media sosial.
Menerusi perkongsian video di laman Facebook Penduduk Alor Setar/ Jitra (PASJ), wanita yang berpakaian baju kurung merah jambu itu mencuri beg pinggang pemilik premis yang didakwa mempunyai wang hasil jualan sebanyak RM6,000.
Lapor Harian Metro, mangsa berusia 57 tahun itu hanya menyedari begnya hilang pada jam 10 pagi selepas gagal menemui beg tersebut yang disimpan di dalam laci meja membungkus makanan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa mengesyaki begnya telah dicuri lalu menonton semula rakaman kamera tertutup (CCTV) di premisnya.
Ketika kejadian, terdapat ramai pelanggan yang menyebabkan mangsa juga tidak menyedari perbuatan suspek.
“Dalam beg itu mengandungi wang tunai RM6,000 dan dokumen pengenalan diri.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kota Setar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Difahamkan, mangsa juga mengecam suspek kerana wanita itu selalu datang ke kedainya untuk membeli makanan dengan menaiki kereta Perodua Myvi berwarna biru.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan suspek kini sedang giat dikesan bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu di media sosial, seorang wanita mendedahkan suspek yang mempunyai ‘tahi lalat’ berdekatan dengan mata dan berasal dari Kota Sarang Semut serta bekerja di sebuah hospital. Malah mendakwa, dia pernah bersembang dengan suspek. – MYNEWSHUB.CC