SEREMBAN – Seorang wanita nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam cenuram sebelum tersangkut di sebatang pokok dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Linggi, Port Dickson tengah hari tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang Nor Azmi Abd Ghani berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 1.50 tengah hari bagi mengeluarkan mangsa.
“Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa yang berusia lingkungan 30-an telah diselamatkan oleh orang ramai dan dihantar ke hospital namun pihak kami mengambil langkah pencegahan mengeluarkan bateri bagi mengelakkan kereta itu terbakar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beliau berkata cenuram itu dianggar mempunyai kedalaman lima meter namun kereta wanita terbabit tersangkut kira-kira satu meter dari aras jalan. – BERNAMA