KAPIT – Seorang wanita warga emas berusia 77 tahun yang dilaporkan gagal kembali ke kediamannya di sebuah rumah panjang di Nanga Stapang, dekat sini, Jumaat lalu, ditemukan mati di tebing Sungai Rajang, hari ini.
Mayat mangsa, Munah Tandang, dari Rumah Unggat telah ditemui terdampar di tebing sungai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat, polis, RELA dan penduduk rumah panjang pada jam 1.25 tengah hari.
Menurut Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Freddy Bian, jarak antara lokasi mayat ditemui dan rumah panjang kediaman mangsa ialah 1.5km.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati tidak ada unsur-unsur jenayah berlaku. Mangsa disyaki mati lemas,” katanya semasa dihubungi.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar rumah untuk pergi ke rumah rakannya yang terletak di seberang sungai pada jam 3 petang, Jumaat lalu.
Freddy berkata, apabila mendapati mangsa gagal pulang, menantu perempuannya yang berusia 55 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Kapit untuk meminta bantuan mengesan mangsa pada pagi Sabtu. – BERNAMA