SEREMBAN – Seorang penunggang motosikal warga emas, maut dalam kemalangan di Jalan Ladang Kombok Ulu Lalang, Rantau dekat sini, ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.55 pagi itu, mangsa M.Thangavelu , 61, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa berseorangan menunggang motosikal jenis Honda C100, dalam perjalanan ke tempat kerjanya dari Rembau ke Seremban Estate Sungai Gadut dan dipercayai telah terbabas dan tercampak di atas jalan raya.
Pemangku Ketua jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan DSP Yazib Kasim ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata mayat lelaki itu telah dibawa ke unit forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk tujuan bedah siasat dan waris mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian ini.
“Kemalangan tersebut disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BERNAMA