PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berucap pada satu majlis perdana antarabangsa bagi perhubungan perniagaan, Sidang Kemuncak Ekonomi China Dunia ke-9 (WCES), dalam lawatan kerja dua hari ke Hong Kong bermula hari ini.
Ahmad Zahid, yang merupakan tetamu kehormat WCES ke-9, akan menyampaikan ucaptama semasa Majlis Makan Malam Penaung hari ini.
“Penyertaan Malaysia di WCES ke-9 itu akan meningkatkan kesalinghubungan dan hubungan perniagaan di antara Malaysia, China dan negara Asia Tenggara dan Eropah,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena penyertaan beliau pada sidang kemuncak itu yang bertemakan “Mengurus Ketidaktentuan Global: Meneroka peluang-peluang Baharu”.
WCES bermula sebagai Forum Ekonomi China Dunia (WCEF) lapan tahun lalu. Ia merupakan acara utama yang diwujudkan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) bagi meningkatkan kesalinghubungan dan hubungan perniagaan di antara China dan Asia Tenggara dan China dan Eropah selaras dengan inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Inisiatif).
Ahmad Zahid juga dijadual menyampaikan anugerah pencapaian sepanjang hayat kepada beberapa pemimpin terkemuka yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan serantau dan komuniti di WCES. – BERNAMA