KUALA LUMPUR – Minuman isotonik nombor satu di Malaysia, 100PLUS hari ini mengumumkan perjanjian selama lima tahun bernilai RM6 juta sebagai rakan kongsi minuman rasmi Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC) mulai 1 Januari tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Lim Yew Hoe berkata kerjasama itu satu lagi pencapaian penting syarikat berkenaan dalam menyokong sukan di Malaysia dalam tempoh jangka panjang kerana 100PLUS bersama-sama minuman F&N yang lain boleh didapati secara ekslusif di seluruh bandar sukan berkenaan.
Beliau berkata gerai minuman berjenama 100PLUS akan didirikan di arena utama di kompleks tersebut, selain perjanjian itu akan menyaksikan trek berbasikal sepanjang 1,400 meter bertemakan 100PLUS di sekitar Stadium Nasional di Bukit Jalil, yang baru diubah suai.
“Daripada program di peringkat sekolah dan akar umbi sehingga ke peringkat kebangsaan, 100PLUS sudah lama menikmati tradisi terlibat dalam arena sukan tempatan. Kami juga menyokong kejohanan antarabangsa yang berlangsung di Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, 100PLUS akan dapat memastikan pengguna terhidrat dengan betul ketika menyaksikan pelbagai acara sukan yang diadakan di KLSC,” katanya pada sidang media majlis menandatangani perjanjian antara F&N Beverages Marketing Sdn Bhd dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.
Majlis tersebut disaksikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Sementara itu, Khairy berkata 100PLUS dan KLSC sememangnya gandingan mantap, dan bakal menjadi strategi pemasaran dan penjenamaan yang baik untuk kedua-dua pihak di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“100PLUS sentiasa menjadi penyokong kuat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan memainkan peranan utama dalam mempromosi dan mewujudkan kesedaran terhadap acara-acara sukan dan inisiatif yang kami laksanakan melalui aktiviti dan kempen mereka di seluruh negara,” katanya.
Perjanjian selama lima tahun antara 100PLUS dan Bandar Sukan KL itu melibatkan penajaan wang tunai dan barangan, membabitkan RM5.5 juta dalam bentuk tunai manakala barangan atau produk berjumlah RM500,000.
Penajaan itu juga akan digunakan untuk mempromosi 100PLUS dan memastikan kemudahan di Bandar Sukan Kuala Lumpur itu kekal sebagai hab sukan bertaraf dunia di rantau ini. – BERNAMA