BUKIT MERTAJAM – Polis menahan tiga anggota geng curi motosikal termasuk seorang warga Indonesia dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Petani, di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu sepasukan polis menyerbu rumah berkenaan sebelum menahan tiga lelaki berusia 25 hingga 30 tahun.
“Semasa serbuan, lelaki berusia 30 tahun yang juga ketua geng curi motosikal itu cuba melarikan diri menerusi pintu belakang sehingga berlaku pergelutan, namun akhirnya dia berjaya ditahan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan awal polis, menemukan satu guni pelbagai rangka motosikal dipercayai yang dicuri geng itu, peralatan untuk mencuri dan pisau.
Selain itu, polis turut merampas satu paket kecil dadah jenis syabu serta satu botol yang diubah suai, dipercayai digunakan untuk menghisap dadah.
Nik Ros Azhan berkata mereka menjadikan rumah itu sebagai tempat menyimpan motosikal curi dan meleraikan komponen kenderaan berkenaan sebelum menjualnya kepada pembeli.
“Selain menjadikan rumah itu sebagai stor, geng tersebut juga menjadikan ia sebagai port untuk mereka menghisap dadah. Polis percaya tiga lelaki tersebut terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal sejak awal tahun ini,” katanya.
Beliau berkata tiga lelaki yang tidak bekerja dan positif dadah itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya polis turut menahan seorang lelaki berumur 31 tahun dan merampas motosikal curi serta pelbagai peralatan mencuri kenderaan itu di Jalan Besar Penanti, di sini tengah malam tadi.
“Dalam Op Krismas tersebut, polis menahan lelaki yang kelihatan mencurigakan itu dan hasil pemeriksaan, suspek memang dikehendaki kerana terlibat dalam kegiatan curi motosikal,” katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu juga terlibat dalam beberapa kes samun bersenjata pisau di SPT dan dia kini direman lima hari bagi membantu siasatan. – BERNAMA