JEMPOL – Seramai 343 peneroka Felda Serting Hilir 3 dan 7 hari ini menerima suratan hak milik tanah.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata hanya tinggal 964 peneroka di Serting Hilir 4 yang masih belum menerima suratan hak milik tanah disebabkan beberapa perkara antaranya isu pewartaan tanah.
“Saya jangkakan pewartaan akan selesai dalam masa terdekat dan akan boleh diserahkan suratan hak milik tanah pada pertengahan atau hujung Januari tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Suratan Hak Milik Tanah itu dan penyerahan cek insentif penyelesaian penuh baki saham FGV Wilayah Raja Alias di sini.
Turut hadir, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Serting Datuk Shamsulkahar Mohd Deli.
Mohamad juga berkata bagi fasa terakhir penyerahan suratan hak milik tanah peneroka Felda Raja Alias 1 dan 2 akan dilakukan selepas pengukuran semula tanah dilakukan
“Tanah di Felda Raja Alias 1 dan Felda Raja Alias 2, pengukuran semula terpaksa dibuat kerana kawasan ini merupakan laluan elektrik atau pencawang elektrik… pengambilan tanah terpaksa dibuat maka geran di kedua-dua kawasan ini terpaksa diukur semula.
“Insya Allah kerja-kerja ini akan dapat kita lakukan dengan sebaik mungkin dan disegerakan. Kita akan dapat mengeluarkan suratan hak milik kedua-dua skim ini pada tahun hadapan sama ada pertengahan atau penghujung tahun,” katanya.
Pada majlis itu, Mohamad turut menyerahkan cek berjumlah RM638,820 kepada 351 peneroka yang telah membuat penyelesaian penuh terhadap baki saham FGV. – BERNAMA