JOHOR BAHRU – Seramai 35 Pegawai Tadbir Negeri Johor akan terlibat dalam rombakan terbaharu perkhidmatan itu berkuat kuasa masing-masing mulai 22 Dis ini dan 1 Jan depan berikutan persaraan serta kenaikan pangkat para pegawai.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani berkata rombakan tersebut berikutan persaraan wajib Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings Sdn Bhd Elias Hasran dan kekosongan jawatan itu bakal diisi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor Salehuddin Hassan.
Jawatan Salehuddin pula akan diganti Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan dan Protokol) Ramlee A Rahman.
“Pegawai Daerah Kota Tinggi Dr Badrul Hisham Kassim pula dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan dan Protokol) manakala Timbalan Pengarah 1 Pejabat Tanah dan Galian Mohd Ridha Abd Kadir dilantik sebagai Pegawai Daerah Kota Tinggi.
“Kesemua pertukaran itu berkuat kuasa 22 Dis ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Media dan Komunikasi (MedKom), Pejabat Menteri Besar Johor di sini hari ini.
Azmi turut mengumumkan beberapa pertukaran penting melibatkan para pegawai perkhidmatan itu dan berkuat kuasa 1 Jan depan.
Ia antara lain melibatkan Pegawai Daerah Kulai Md Za’nal Misran yang bakal memegang jawatan yang baru diwujudkan iaitu Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pemantauan dan Kesejahteraan Rakyat) dan tempatnya digantikan oleh Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Mohd Khir Johari Salleh. – BERNAMA