TANAH MERAH – Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai pengedar dadah serta merampas 1,580 biji pil kuda (methamphetamine) serta 50 biji Erimin 5 bernilai kira-kira RM16,300 dalam dua serbuan di sini dan Bachok, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Suzaimi Mohamad berkata dua lelaki berusia 25 tahun itu ditahan dalam sebuah kereta di hadapan sebuah kedai serbaneka di Bandar Baru Kota Harmoni di sini, pada 4.30 petang.
Pemeriksaan polis terhadap kereta tersebut menemukan 600 biji pil kuda dan 50 biji Erimin 5.
“Hasil soal siasat terhadap dua suspek itu kemudiannya polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berumur 25 dan 24 tahun di Kampung Alor Pulai, Jelawat, Bachok pada 9.30 malam hari sama,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan pada kereta yang dinaiki pasangan itu pula membawa kepada penemuan 980 biji pil kuda bernilai RM9,800.
Kesemua mereka tidak bekerja dan kini direman tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut. – BERNAMA