SEREMBAN – Empat lelaki dipercayai warga Myanmar telah memecah masuk sebuah pasar raya di Nilai, sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM1,562 dan barangan kemas dari sebuah kedai emas di dalam pasar raya itu, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Zaldino Zaludin berkata dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu siasatan awal berdasarkan kamera litar tertutup mendapati kesemua empat suspek yang bertopeng dan bersenjatakan parang itu cuba memasuki pasar raya tersebut dengan memanjat pagar belakang.
Namun usaha itu gagal menyebabkan suspek kemudiannya beralih ke pintu hadapan pasar raya itu dan menahan tiga pengawal keselamatan yang bertugas sebelum memecahkan pintu ‘roller shutter’ kedai emas tersebut, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata suspek dipercayai telah memecahkan bahagian tepi peti besi disyaki menggunakan pencanai dan gerudi serta mengambil wang tunai RM1,562 berserta barang kemas dengan kerugian belum dapat dipastikan.
“Perakam kamera litar tertutup di dalam premis dirosakkan dan alat perakam dekoder turut hilang.
“Suspek turut kelihatan memecah masuk sebuah farmasi di dalam pasar raya itu, namun tiada barangan dilaporkan hilang di dalam farmasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata siasatan kejadian itu masih diteruskan termasuk anggaran kerugian. – BERNAMA