BELURAN – Lima penumpang parah dan 16 lagi cedera ringan selepas sebuah bas ekspres terbabas di Kilometer 86 Jalan Beluran-Telupid malam tadi.
Ketua Polis Daerah Beluran, Supt. Sivanathan Velautham berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam tadi, bas ekspres itu dengan penumpang seramai 21 orang, dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Kota Kinabalu.
Menurut siasatan awal polis, bas itu terbabas ketika cuba mengelak sebuah kenderaan dari arah bertentangan yang masuk ke laluannya dan pemandu bas ekspres itu cuba mengelak kenderaan berkenaan lantas hilang kawalan dan berpusing sebanyak tiga kali sebelum terbabas ke sebelah kanan jalan.
Kesemua penumpang yang mengalami cedera parah dibawa ambulans ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut, katanya dalam kenyataan hari ini. Penumpang yang cedera ringan dihantar ke Hospital Telupid.
Beliau berkata pemandu bas itu membuat laporan di Balai Polis Telupid dan sampel darahnya turut diambil untuk diuji. – BERNAMA