HATI bapa mana yang tidak luluh apabila anak kandung yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang bertindak mencemuh dan menyisihkannya daripada hidup mereka.
Bukan sahaja kepercayaan yang diberikan si ayah dipersiakan, malah tubuh yang pernah berhempas pulas menyara hidup mereka sekeluarga itu diherdik dan dihalau bagaikan anjing kurap.
Itulah realiti pahit yang terpaksa ditelan seorang warga emas di Ayer Keroh, Melaka yang kini menagih simpati setelah dirinya diperlakukan sedemikian oleh anak-anak kandungnya sendiri.
Memetik laporan Sinar Harian, Daut @ Kassim Jali, 84, yang kini penghidap angin ahmar didakwa dianiayai tujuh anaknya itu selepas beliau menyerahkan kesemua aset bernilai lebih RM4 juta.
Menurut Daut, beliau dahulu pernah berstatus jutawan dengan memiliki perniagaan tiga buah stesen minyak, ladang ternakan ayam seluas 10 ekar dan dua ladang tanaman sawit.
Bagaimanapun menurut warga emas itu, setelah kesemua aset yang diusahakannya sejak 1970-an tersebut diagih-agihkan kepada tujuh anaknya yang berusia 41 hingga 58 tahun untuk diusahakan, lain pula jadinya.
Menceritakan detik itu, Daut dikurniakan empat anak lelaki dan tiga anak perempuan hasil perkongsian hidup bersama isteri pertama.
Namun bagai jatuh ditimpa tingga, Daut dipinggirkan anak-anaknya setelah dia diserang angin ahmar pada 2013. Sejak itu dia terpaksa menyara kehidupan serta rawatan kesihatan sendiri dengan sisa baki kudrat yang ada.
Daut mendakwa, kesemua anaknya bukan sahaja ‘lupa daratan’, malah turut abai tanggungjawab terhadap dirinya sehingga terpaksa harap belas ihsan daripada anak-anak tiri serta isteri kedua yang kini menetap di Masjid Tanah.
“Saya kesal kerana anak-anak meminggirkan saya. Nafkah sara hidup saya pun mereka tak beri, bagaimana saya hendak sara kehidupan saya walhal saya amat memerlukan kos rawatan kesihatan saya kini.
“Saya tidak mahu mempersoalkan terhadap apa yang telah diberikan kepada anak-anak, cuma melahirkan perasaan kecewa, macam ini balasan mereka kepada saya,” katanya dipetik akhbar tersebut.
Menurutnya, ketika dalam keadaan sakit dan tidak mampu berfikir dengan waras, dia telah diperdaya salah seorang anaknya untuk tukar segala hak milik pegangan saham sebuah syarikat ladang ternakan ayam daging kepada nama anaknya itu.
Bukan itu sahaja, malah sebuah sebuah rumah yang dibeli dengan harga RM600,000 di Cheras, deposit overdraf perniagaan stesen minyak bernilai RM800,000, serta akaun simpanan semasa syarikat bernilai RM100,000 turut beralih tangan.
Daut yang hadir bersama peguam di Pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (BN) negeri di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh, semalam turut tidak dapat menahan sebak apabila mengenang perbuatan anak-anak kepada beliau.
Masih segar di ingatan, Daut berkongsi peristiwa dihina oleh anak perempuannya sendiri empat tahun lalu ketika beliau singgah ke stesen minyak yang diusahakan anaknya itu kerana kehabisan minyak kereta.
“Ingat lagi satu ketika sewaktu kereta habis minyak, saya ke stesen minyak di Kuala Sungai Baru yang diusahakan anak tetapi tidak diendahkan.
“Anak saya tak bagi saya isi minyak. Dua jam saya tunggu, dimakinya pula. Padahal stesen itu saya yang usahakan dulu,” kata Daut.
Peguamnya, Mohd. Adli Ithnin berkata, Daut pernah memfailkan tuntutan nafkah terhadap anak-anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka sebelum mahkamah memutuskan hak tanah perusahaan reban ayam seluas 10 ekar perlu diserahkan sepenuhnya kepadanya.
Bagaimanapun katanya, pada September lalu, anak-anak Daut mengambil semula kedua-dua lot tanah dan perniagaan ayam daripada bapanya menyebabkan warga emas itu hilang sumber pendapatan.
“Sedangkan pada masa kini beliau terpaksa membeli keperluan makanan, ubat-ubatan, lampin pakai buang serta perbelanjaan lain yang kesemuanya berjumlah hampir RM4,000.
“Justeru, dia akan memfailkan tuntutan nafkah terhadap tiga orang anaknya berjumlah RM3,925 sebulan setiap seorang sehingga akhir hayatnya,” katanya.
Sementara, Pengarah Pembela BN negeri, Amir Hamzah Aziz melihat perkara ini sebagai tidak wajar berlaku kerana anak seharusnya menjaga ibu bapa mereka, ditambah pula dalam keadaan kesihatan orang tua yang tidak mengizinkan.
“Selama ini ayah telah berkorban untuk meningkatkan ekonomi anak-anak dengan tanpa usaha anak itu sendiri.
“Hari ini dengan berlandas usaha ayah, anak-anak ini berjaya di dalam bidang perniagaan masing-masing. Apa salahnya memberi sedikit sumbangan bulanan pada ayah?,” katanya. – MYNEWSHUB.CC
* Video sekadar hiasan…